>

Ibu tunggal


Salam..

Di Malaysia, ibu tunggal seringkali dirujuk kepada janda yang mempunyai dan memelihara anaknya sendiri. Tetapi di Barat, single parent dirujuk bukan saja kepada janda yang mempunyai anak dan memeliharanya sendiri tetapi juga seorang ibu yang tidak pernah berkahwin. Istilah ibu tunggal untuk ibu yang tidak pernah berkahwin di Malaysia jarang digunakan. Malah tidak keterlaluan untuk menyatakan ibu tanpa suami ini tidak begitu dihiraukan dalam masyarakat, terutama di kalangan orang Melayu.

Dari segi teori, sepatutnya ibu tunggal yang tidak pernah berkahwin ini tidak seharusnya wujud dalam masyarakat Islam. Ini kerana seorang menjadi ibu hanya melalui perkahwinan. Tetapi realitinya tidak begitu. Ada wanita yang dirogol atau melakukan persetubuhan haram, dan antaranya melahirkan anak. Masyarakat sudah tentu memandang serong kepada perbuatan persetubuhan haram, atau disebut secara sopan sebagai keterlanjuran. Tetapi kalau dalam kes rogol, ia bukan salah ibu berkenaan. Dia dipaksa, tetapi masyarakat tetap memandang serong. Akibat suasana sedemikian maka, berlakulah pengguguran haram dan lebih serius lagi perbuatan membuang bayi. Puncanya ialah pandangan daripada masyarakat kita yang kurang mempunyai sifat kemanusiaan. Sedangkan anak itu tidak salah walaupun ia dihasilkan melalui perbuatan salah. Selama ini anak-anak hasil daripada persetubuhan haram disebut sebagai anak haram.


Haram dan halal adalah istilah agama tetapi dalam mana-mana kitab agama, tidak pernah pun disebut anak haram atau anak halal. Sedangkan dalam agama, kita dilarang memberi nama atau gelaran yang mendatangkan mudarat kepada seseorang manusia. Sifat penyayang dan kemanusiaan adalah sebahagian dalam Islam tetapi sayangnya masyarakat Islam di seluruh dunia mempunyai prasangka buruk tentang pelbagai perkara terhadap anggotanya hingga ia menyukarkan kehidupan orang Islam.


Untuk mengelak istilah anak haram, diciptakan istilah anak luar nikah. Tetapi prasangka dan stigma berterusan. Apa bezanya anak luar nikah dan dalam nikah? Mereka juga manusia. Yang menjadikan masalah bukan saja ibu bapa anak berkenaan tetapi juga ialah masyarakat. Masyarakat yang menetapkan demikian. Anggota masyarakat yang merana. Kita bukan hidup untuk masyarakat. Masyarakat yang diwujudkan untuk kebahagiaan individu. Kini dicipta istilah anak tak sah taraf. Lebih buruk lagi. Seolah-olah anak-anak yang tidak dikehendaki masyarakat ini mempunyai taraf yang tidak sah. Atau adakah manusia ini banyak taraf, ada yang sah, dan ada yang tidak.

Demi kemanusiaan, iktiraflah mereka sebagai individu dan samakan taraf mereka dengan semua orang. Ada masanya mereka juga merupakan hasil daripada naluri kasih sayang antara dua insan. Lagipun apa salahnya nafsu syahwat. Ia adalah sebahagian daripada kejadian manusia. Kalau masyarakat boleh menerima mereka, mungkin kuranglah kejadian bapa anak-anak ini lari. Ada kalanya sikap masyarakat mendorong mereka mengambil jalan tidak bertanggungjawab.
Dalam zaman DNA sekarang ini, sains boleh membuktikan siapa bapa anak-anak itu. Sementara dari segi undang-undang, seharusnya digubal bagi memastikan bapa anak-anak berkenaan sama-sama bertanggungjawab menyara anak-anak yang kurang diterima masyarakat ini.



0 Budak Comel:

Post a Comment